Simposium BM · Culture and Religion / Budaya dan Agama Keharmonian Masyarakat Majmuk dalam Perspektif Sosial, Budaya dan Sejarah
Harmony in a Plural Society from Social, Cultural and Historical Perspectives
Editors Muhammad Azizan Sabjan, Ahmad Murad Merican, Mohd Syahmir Alias
E-ISBN 9786297114262 10 chapters
Dalam era yang semakin rencam dan ditandai oleh kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat majmuk merupakan prasyarat penting bagi menjamin kestabilan sosial dan kelestarian pembangunan di Malaysia. Keharmonian tersebut bukan sekadar suatu gagasan atau ideal yang bersifat teoretikal, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui nilai dan amalan yang mampu memelihara keseimbangan antara kebebasan beragama, kebijaksanaan sosial, keadilan serta kelangsungan identiti budaya.
Bertitik tolak daripada keperluan tersebut, buku Keharmonian Masyarakat Majmuk dalam Perspektif Sosial, Budaya dan Sejarah menghimpunkan kajian daripada pelbagai bidang bagi menelusuri cabaran, nilai dan pendekatan dalam membina serta mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk. Buku ini tidak mengehadkan perbincangan kepada dimensi sosial semata-mata, tetapi turut memperluasnya kepada persoalan agama, budaya, kesusasteraan, sejarah, pemikiran, ekonomi, pelancongan, psikologi dan kelestarian. Kepelbagaian bidang ini mencerminkan hakikat bahawa keharmonian masyarakat terbina daripada jaringan hubungan yang kompleks antara manusia, nilai, sejarah, budaya dan persekitarannya.
Perbincangan dimulakan dengan persoalan agama dan budaya sebagai antara asas penting dalam pembentukan kehidupan bersama. Bab 1 meneliti nilai toleransi dalam Islam melalui naratif Ashabul Kahfi serta implikasinya terhadap pembinaan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dimensi budaya dan warisan seterusnya diperluas dalam Bab 5, yang membincangkan kepentingan melestarikan warisan intelektual Melayu-Islam di Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai sebahagian daripada khazanah ketamadunan serantau.
Karya kesusasteraan dan pemikiran masa lalu turut menyediakan ruang penting untuk memahami pengalaman manusia serta kebijaksanaan yang terbina daripada sejarah. Bab 2 membawa pembaca menelusuri kehalusan imaginasi dan pemikiran Raja Kalsum melalui karya Syair Saudagar Bodoh. Bab 3 pula meneliti persoalan historiografi vernakular, memori budaya dan kuasa kolonial berdasarkan naskhah Syair Kompeni Belanda Berperang dengan Cina (SKBBDC). Dalam ranah pemikiran intelektual, Bab 6 menganalisis manifestasi pemikiran Syed Hussein Alatas dalam Mitos Peribumi Malas melalui pendekatan medan semantik. Sementara itu, Bab 8 mengangkat persoalan objektiviti dan penghakiman moral dalam falsafah sejarah al-Bīrūnī berdasarkan dua karya pentingnya, Kitāb al-Hind dan al-Āthār al-Bāqiyah. Kesemua perbincangan ini memperlihatkan bagaimana teks, pemikiran dan pengalaman sejarah dapat menjadi sumber penting untuk memahami nilai, pandangan alam serta pembentukan masyarakat.
Buku ini turut memperluas perhatian kepada persoalan praktikal yang berkaitan dengan kelangsungan kehidupan masyarakat pada masa kini dan masa hadapan. Bab 4 meneroka potensi daerah Sik, Kedah sebagai destinasi pelancongan astronomi dengan memberi perhatian kepada pemeliharaan langit gelap sebagai wahana yang menghubungkan pengetahuan astronomi, kegiatan ekonomi dan pendidikan budaya. Seterusnya, Bab 7 mengetengahkan dimensi psikologi alam sekitar melalui kajian awal tentang eco-anxiety dalam kalangan murid di Indonesia dengan memanfaatkan teks dan laluan afektif sastera sebagai pendekatan untuk memahami hubungan antara manusia, emosi dan alam sekitar. Bab 9 pula menilai hubungan antara persepsi dan kefahaman peserta terhadap program dengan aplikasi dalam projek melalui kajian kes Projek AZAM Tani MARDI. Akhir sekali, Bab 10 meneliti keperluan sokongan psikososial guru sekolah menengah dalam mengurus tekanan beban tugas serta implikasinya terhadap amalan kerja sosial sekolah.
Kepelbagaian bidang kepakaran dan pendekatan metodologi yang dihimpunkan dalam buku ini, termasuk penyelidikan kualitatif, kajian kepustakaan serta analisis kandungan dan teks, memperlihatkan keluasan cara untuk memahami persoalan masyarakat, budaya, pemikiran dan kelestarian. Meskipun setiap bab berangkat daripada persoalan dan disiplin yang berbeza, keseluruhannya bertemu pada perhatian yang sama terhadap nilai, pengalaman manusia dan usaha memahami kehidupan bersama dalam lingkungan masyarakat yang pelbagai. Dengan demikian, buku ini diharapkan bukan sahaja dapat memperkaya wacana akademik, malah dapat memberikan manfaat kepada pelbagai kelompok pembaca, khususnya warga akademik, pendidik, pemikir, penggubal dasar serta khalayak yang mempunyai minat terhadap bidang sosiologi, sejarah, falsafah, kesusasteraan dan kajian kebudayaan.
Sebagai penyunting, kami berharap himpunan kajian rentas bidang dalam naskhah ini dapat menyumbangkan gagasan, perspektif dan kerangka pemikiran yang bermakna dalam memahami kedinamikan masyarakat majmuk. Buku ini diharapkan dapat membuka ruang dialog antara bidang serta merangsang pembaca untuk melihat keharmonian masyarakat sebagai suatu proses yang sentiasa berkembang, yang menuntut pemahaman terhadap sejarah, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, kebijaksanaan dalam hubungan sosial dan kesedaran terhadap kelangsungan kehidupan bersama.
View chapter list